Suatu
hari seorang alim yang sangat takwa kepada Tuhan bermaksud untuk pergi ke Tanah
Suci mengerjakan ibadah haji. Waktu dia meminta izin kepada ibunya, ternyata
perempuan tua itu sangat keberatan. Menurut ibunya, tunda dahulu
keberangkatanmu sampai tahun depan. Ia merasa bimbang terhadap keselamatan
anaknya, kerana orang alim itu adalah satu-satunya anak yang hidup dari hasil perkahwinan
dengan almarhum suaminya.
Rupanya orang alim yang soleh itu sudah tidak dapat menahan keinginannya untuk
menunaikan rukun Islam yang kelima. Maka, walaupun tidak mendapat restu dari
ibunya, dia berkemas-kemas lalu berangkat menuju ke Tanah Haram. Jelas
keputusannya ini bertentangan dengan ajaran Nabi. Kerana redha Allah bergantung
kepada redha orang tua, begitu pula murka Allah terletak dalam murka orang tua.
Ketika menyaksikan anaknya yang pergi juga, ibu yang sudah tua itu tergopoh-gapah
mengejar anaknya. Akan tetapi anaknya itu sudah telalu jauh. Dia tidak
mendengar suara ibunya yang memanggil-manggil sambil berlari-lari itu. Dalam
marahnya ibu yang sangat cinta kepada anaknya tersebut menadahkan kedua
tangannya lalu berdoa: “Ya Allah, anakku satu-satunya telah membakar diriku
dengan panasnya api perpisahan. Kumohon pada-Mu, balaslah dia dengan seksaan
yang setimpal. Sebagai ibunya, aku merasa sakit hati, ya Allah.”

Doa ini jelas tidak pada tempatnya bagi seorang ibu yang seharusnya bijaksana.
Sebab di antara doa-doa yang dikabulkan adalah doa seorang ibu terhadap
anaknya. Bumi seolah-olah bergoyang mendengar doa ini. Namun orang alim tadi
terus juga berjalan. Pada sebuah kota kecil sebelum sampai tempat tujuannya,
orang alim itu berhenti melepaskan lelah. Menjelang Maghrib dia berangkat ke
masjid dan solat sampai Isyak. Sesudah itu ia terus mengerjakan solat-solat
sunat dan wirid hingga jauh malam.
Secara kebetulan di sudut kota yang lain, pada malam itu terjadi peristiwa yang
menggemparkan. Ada seorang pencuri yang masuk ke dalam rumah salah seorang
penduduk. Orang yang punya rumah terjaga dan bersuara. Tiba-tiba pencuri itu
terjatuh kerana terlanggar suatu benda di kakinya. Ketika terdengar bunyi
sesuatu yang jatuh itu, maka orang yang punya rumah pun memekik-mekik sambil
berkata: “pencuri! pencuri.”
Seisi kampung terbangun semuanya. Dengan ketakutan pencuri itu lari sekuat
tenaga. Orang-orang kampung terus mengejarnya. Pencuri itu lari ke arah masjid
dan masuk ke halaman masjid tersebut. Orang-orang pun mengejar ke sana.
Ternyata pencuri itu tidak ditemukan di dalam rumah Allah itu.
Salah
seorang di antara mereka memberitahu kepada pemimpinnya: “Kita sudah mencari di
sekeliling masjid, namun tidak ada bekas-bekasnya sedikitpun.”
Yang
lainnya pula berkata: “Tidak mungkin dia ditelan bumi, aku yakin dia belum lari
dari sini. Kalau di luar masjid tidak ada, mari kita cari ke dalam masjid.
Berkemungkinan dia bersembunyi di situ.”
Maka orang-orang pun masuk ke dalam masjid. Ternyata betul, di dekat mimbar ada
seorang asing sedang duduk membaca tasbih. Tanpa bertanya-tanya lagi orang itu
ditarik keluar. Tiba di halaman masjid, orang tadi sudah terkulai dan pengsan
kerana dipukul beramai-ramai.
Penguasa hukum di kota tersebut malam itu juga memutuskan suatu hukuman yang
berat kepadanya atas desakan masyarakat yang marah. Maka orang tersebut diikat
pada tiang dan dicambuk badannya.
Keputusan dari hakim ini jelas menyalahi ajaran Nabi, bahawa seorang hakim
seharusnya menyelidiki hingga hujung suatu perkara, dan tidak boleh menjatuhkan
keputusan berdasarkan hawa nafsu. Begitu juga walaupun lelaki itu dituduh
menodai kesucian masjid kerana bersembunyi di dalamnya, dengan berpura-pura
bersembahyang dan membaca wirid, padahal dia adalah pencuri.
Pagi-pagi lagi seluruh penduduk kota itu sudah berkumpul di pasar menyaksikan
jalannya hukumam qisas itu. Selain algojo melaksanakan tugasnya, orang-orang
pun bersorak-sorak melihat si alim dicambuk hingga pengsan. Mereka tidak lagi
mematuhi ajaran Islam untuk berbuat adil terhadap siapa saja, termasuk kepada
pencuri yang jahat sekalipun. Darah memercik ke sana ke mari, orang-orang
kelihatan semakin puas.
Semakin siang semakin ramai orang yang berkumpul menonton dan meludahi pencuri
yang terkutuk itu. Dalam kesakitannya, orang alim yang dihukum sebagai pencuri
itu mendengar salah seorang penduduk yang berkata: “Inilah hukuman yang
setimpal bagi pencuri yang bersembunyi di dalam masjid!” Sambil meludah muka
orang alim tersebut.
Orang yang dihukum yang dianggap pencuri ini dengan suara yang tersendat-sendat
membuka mulutnya berkata: “Tolong jangan katakan demikian. Lebih baik
beritahukanlah kepada orang ramai bahawa saya ini adalah hamba Allah yang ingin
mengerjakan ibadah haji, tapi tidak mendapat restu dari orang tua.”
Mendengar ucapan ini, orang yang mendengar jadi terkejut dan menanyakan
siapakah dia sebenarnya. Orang alim tadi membuka rahsianya, dan masyarakat jadi
serba salah. Akhirnya mereka terpaksa memberitahukan hal itu kepada hakim.
Setelah hakim itu datang dan tahu duduk perkara yang sebenarnya, maka semua
mereka menyesal. Mereka kenal nama orang alim itu, iaitu orang yang soleh dan
ahli ibadah. Cuma belum pernah tahu rupanya. Ibu-ibu yang hadir serta orang tua
lainnya ramai yang merasa sedih tidak dapat menahan diri, tapi sudah tidak ada
gunanya.
Malamnya, atas permintaan orang alim itu setelah dibebaskan dari seksaannya,
dihantarkan ke rumah ibunya. Pada waktu orang alim tersebut akan dihantar,
ibunya telah berdoa: “Ya Allah, jika anakku itu telah mendapatkan balasannya,
maka kembalikanlah dia kepadaku agar aku dapat melihatnya.”
Begitu selesai doa si ibu, orang yang membawa anaknya pun sampai. Orang alim
itu minta didudukkan di depan pintu rumah ibunya, dan mempersilakan orang yang
mengantarnya itu pergi. Sesudah keadaan sunyi kembali, tidak ada orang lain,
maka orang alim itupun berseru dengan suara yang pilu: “Asalamualaikum.”
Maka
terdengarlah suara oang tua yang menjawab salamnya dari dalam. Bergetar hati si
alim mendangar suara itu:
“Saya adalah musafir yang terlantar. Tolonglah beri saya roti dan air sejuk,”
kata orang alim itu menyamar diri.
“Mendekatlah
engkau ke pintu. Hulurkan tanganmu melalui celah pintu,” jawab suara tadi dari
dalam.
“Maaf,
saya tidak boleh mendekati pintu kerana kedua kaki saya sangat kaku. Saya juga
tidak dapat menghulurkan tangan melalui celah pintu, kerana tangan saya terasa
letih.”
“Jadi
bagaimana caranya?” Si ibu mengeluh kehilangan akal. “Antara kita ada pemisah
yang tidak boleh dilanggar. Engkau lelaki yang tidak saya kenal, dan saya,
walaupun sudah tua, adalah seorang perempuan.”
“Jangan
bimbang wahai puan,” kata orang alim tersebut. “Saya tidak akan membuka mata
kerana kedua mata saya sangat pedih, jadi saya tidak akan melihat ke arah
puan.”
Mendengar jawapan itu, tidak beberapa lama kemudian perempuan itu pun keluar
membawa sepotong roti dan segelas air sejuk. Orang alim itu begitu saja
merasakan kehadiran ibunya, sudah tidak mampu lagi menahan diri. Ia memeluk
kaki ibunya dan menjerit sambil menangis: “Ibu, saya adalah anak ibu yang
derhaka.” Ibunya pun merasa sedih. Dipandangnya orang cacat di mukanya itu lalu
ia menjerit ternyata adalah anaknya. Mereka berdua saling berpelukan dalam
tangisan.
Ketika itu juga perempuan tersebut menadahkan tangannya memohon ampun kepada
Allah: “Ya Allah, kerana telah jadi begini sungguh saya menyesal atas kemarahan
saya kepada anak sendiri, saya bertaubat untuk tidak mengulangi lagi perkara
ini, ampunilah saya ya Allah, serta ampunilah dosa orang-orang yang menyeksanya
kerana kami semua telah disesatkan oleh godaan iblis dengan nafsu marah.”
wallahua'lam